KUALA LUMPUR, 7 Okt — Bagi menyokong usaha kerajaan dalam menggerakkan ekonomi digital, peranan Pusat Internet akan terus diperkukuhkan dengan pelbagai program pembangunan modal insan baharu yang bersesuaian.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata selain program pembelajaran ICT dan promosi pelancongan, beberapa program baharu seperti robotik, pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) serta program e-Pembelajaran giat dijalankan.
Beliau berkata Pusat Internet itu juga terlibat dalam Program Jangkauan Komuniti.
“Secara amnya, penganjuran program di Pusat Internet di seluruh Malaysia dilakukan setiap bulan, sama ada melalui kolaborasi antara agensi kerajaan dan swasta atau melalui penyelia pusat internet itu sendiri di mana mereka telah dilatih untuk memberi latihan bagi kursus tertentu kepada komuniti setempat.
“Bagi pusat-pusat Internet di Melaka turut tidak ketinggalan di mana secara khususnya Pusat Internet di Melaka telah menganjurkan program seperti kelas kraftangan, bengkel asas robotik, kelas penyuntingan gambar menggunakan Adobe Photoshop, cara menggunakan aplikasi media sosial, permainan pendidikan dalam talian Fast Typing Speed dan program komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan maklumat tambahan selepas menjawab soalan yang ditanya Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi kamar khas, di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Eddin Syazlee memberitahu, kini terdapat 871 Pusat Internet sedang beroperasi di seluruh Malaysia dengan lebih sejuta rakyat mengguna pakai perkhidmatan ditawarkan di pusat internet berkenaan.
— SUMBER DARI BERNAMA